Sungai Mengalir Lesu

Mak Buruk menarik nafas dalam bilik bercahaya bulan itu. “Jumaat,” katanya penuh perasaan, “di mana agaknya awak. Kenapakah Jepun ni kejam sangat? Kalau nak ambil pun ambillah orang yang tak ada tanggungan.” Dengan tidak dipaksa-paksa, air mata pun mengalir dari kelopak matanya.

Sinopsis Buku: Sungai Mengalir Lesu adalah antara segelintir karya sastera yang sempat merakamkan satu fasa dekad terpenting dalam kehidupan bangsa kita. Pengalaman getir kehidupan sekumpulan manusia di sebatang sungai turut menjadi lambang kesengsa…

Sinopsis Buku: Sungai Mengalir Lesu adalah antara segelintir karya sastera yang sempat merakamkan satu fasa dekad terpenting dalam kehidupan bangsa kita. Pengalaman getir kehidupan sekumpulan manusia di sebatang sungai turut menjadi lambang kesengsaraan umum rakyat Malaya pada zaman Perang Dunia Kedua. Kisah lara sekumpulan insan ini menunjukkan betapa durjananya kesan dan bencana perang terhadap manusia, dan betapa wajarnya kita menghindarinya daripada berulang semula. Di samping sebuah karya sastera, Sungai Mengalir Lesu juga sebenarnya adalah satu himpunan dokumentasi sejarah sosial yang amat berharga.

Sungai Mengalir Lesu
Penulis: A. Samad Said
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun Penerbitan: 1997
ISBN: 9836233687
166 mukasurat

Air sungai itu mengalir dengan malasnya. Sudah tiga hari airnya kuning teh susu, tetapi hari ini ia berbalik sehitam-hitamnya. Sesudah berkurung beberapa hari, beberapa orang budak antara tujuh hingga lima belas tahun, merasa terlepas semula dari penjara shelter, dan sedang berlumba-lumba mengejar tin-tin, botol-botol dan kulit kayu balak yang hanyut, menjadikan airnya kalau tak lesu saja itu beriak-riak sejenak.

Mak Buruk yang tua dan uzur, Tuminah janda muda, Dalim adik Tuminah, Zainab gadis belasan tahun yang dipaksa berkahwin dengan seorang lelaki tiga kali usianya, Tompang yang buta, Basir yang membawa makanan kepada Tuminah dan menidurinya sebagai balasan, merupakan beberapa watak yang terpaut dalam fikiran walaupun telah lama saya habis membaca buku ini.

Air mata turut membasahi pipi apabila terkenang penderitaan sekumpulan orang ini akibat peperangan. Saya asyik bertanya kepada diri kenapa harus begini, sama seperti Mak Buruk yang bertanya tentang soalan yang sama. Bukan saja Mak Buruk yang terseksa, malah ramai yang kehilangan suami, ibu bapa, dan orang kesayangan masing-masing. Orang-orang yang tidak bersalah kerap menjadi mangsa.

Di dalam novel Sungai Mengalir Lesu, Sasterawan Negara (SN) Datuk A. Samad Said menumpukan perhatian beliau kepada orang-orang yang tersebut di atas dan bagaimana mereka menjalani hidup penuh ketakutan dan kelaparan. Tetapi dalam keadaan begini, ada juga gelak-ketawa terutamanya budak-budak yang selalu bermain di sungai yang amat kotor itu. Mereka berkongsi shelter yang sama sewaktu serangan udara untuk berlindung daripada bom-bom yang digugurkan oleh pesawat British B24 dan B29 yang cuba menewaskan pihak Jepun untuk merampas kembali Singapura. Malangnya, serangan bom tidak bermata dan tidak mengenal mangsa. Singapura pada masa itu merupakan sebahagian daripada Malaysia.

Saya juga amat terharu membaca perbualan dua sahabat, Mulyadi dan Irwan. Mulyadi yang sakit tenat dengan tokaknya yang semakin membesar menyampaikan “wasiat” dan hasratnya kepada Irwan agar mencari isteri dan anak perempuannya serta memberitahu mereka sekiranya dia meninggal dunia. Tersedu saya di tandas pejabat ketika membaca bahagian itu dan tidak terdaya lagi untuk tertahan apabila sampai ke mukasurat terakhir.

Novel ini dipinjam daripada Perpustakaan Negara Malaysia. Saya amat menghayati gaya penulisan Datuk A. Samad Said dan pasti akan cuba membaca sebanyak mungkin karya beliau.

Previous
Previous

Vision in White (Book One in the Bride Quartet)

Next
Next

Charlie and the Great Glass Elevator